MARUDI: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg berkata Baram tidak lagi menjadi kawasan terpencil setelah siapnya Jambatan Marudi sekali gus mempermudahkan pergerakan di antara Marudi dan Miri.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jambatan Marudi pada Jumaat.
Beliau menyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) laluan sedia ada dari Miri ke Marudi akan dinaik taraf.
Jelasnya, laluan dari Marudi ke Long Terawan terus ke Long Iman dan ke Limbang turut dibangunkan.
"Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di bawah Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), semua wakil rakyat di kawasan Baram ini akan bekerja untuk membangunkan seluruh kawasan ini.
"Bayangkan, kita membangunkan semua ini dalam satu laluan dari Long Iman terus ke Limbang. Ini bermakna Baram tidak lagi menjadi kawasan terpencil, sebaliknya akan menjadi kawasan utama untuk pembangunan ini.
"Kalau saya dan rakan-rakan dapat membangunkan jambatan ini, pada tahun 2030, mungkin kita boleh memandu sampai ke Limbang,” katanya.
Dalam ucapan perasmian beliau, beliau memuji kualiti pembinaan Jambatan Marudi dan mengucapkan tahniah kepada penduduk Marudi kerana telah memiliki jambatan yang menjadi penghubung utama penduduk sekitar Marudi.
Jambatan Marudi sepanjang 650 meter yang merentasi Sungai Batang Baram bukan sahaja mempermudah pergerakan antara Marudi dan Miri tetapi juga berperanan sebagai pemangkin pembangunan sosio-ekonomi di kawasan ini.
Projek yang dimulakan pada Oktober 2022 ini dijadualkan siap pada Jun 2025 tetapi berjaya diselesaikan lebih awal pada 10 November 2024, hasil dedikasi kontraktor, konsultan, dan pemantauan ketat oleh Jabatan Kerja Raya Sarawak.
Pembukaan Jambatan Marudi yang bernilai RM116.5 juta itu menandakan pencapaian besar Kerajaan Sarawak
dalam memperkukuhkan aksesibiliti, meningkatkan peluang ekonomi dan memperbaiki kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
Premier Sarawak menambah, menerusi jaringan infrastruktur yang lebih baik, kawasan tersebut kini bersedia menjadi pemangkin kepada pelaburan strategik, pembangunan
komprehensif dan transformasi sosioekonomi yang memberi manfaat kepada Sarawak.
Jelasnya, projek ini juga merupakan sebahagian daripada rangkaian infrastruktur besar yang menghubungkan bahagian utama seperti Miri, Marudi, Limbang, Lawas, Mulu dan negara jiran Brunei serta Sabah.
"Kerajaan Sarawak juga dalam perancangan untuk membina pelabuhan dalam di Kuala Baram dan akan turut menjadi akses utama kapal pelayaran. Ia untuk memudahkan pelancong datang ke Mulu dan Niah memandangkan kedua-dua tempat ini diiktiraf oleh UNESCO sekali gus merangsang ekonomi penduduk di kawasan itu," jelasnya.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Industri Makanan Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (Kerajaan Tempatan) Datuk Dr Penguang Manggil dan Ahli Parlimen Baram Dato Anyi Ngau.